(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 7 November: Sesiapapun tidak boleh membuat ulasan berhubung pandangan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama, selagi ia belum jelas dengan bukti dan penerangan, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Dalam Islam kena 100 peratus jelas sebelum buat keputusan. Kalau 99 peratus jelas, satu peratus tak jelas, tak boleh hukum orang.
“Kita tak dapat gambaran sebenar. Kita tak boleh bergantung kepada laporan media. Tak boleh buat ulasan secara ringkas. Mesti baca sepenuhnya dan kena periksa video.
Menempelak sama isu tersebut, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
“Kita kena periksa dulu sebab (laporan) datang dari Utusan. Utusan selalu kalah (akibat salah lapor),” katanya disambut gelak ketawa media.
Isnin lalu, Utusan Malaysia pada muka depannya memanipulasi kenyataan Nurul Izzah dalam forum ‘Islamic State: Which version? Whose responsibility?’.
Lanjutan putar belit akhbar pro-BN itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai akan mengambil tindakan undang-undang diwakili peguam Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah.
Dalam perkembangan berkaitan, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak bercadang untuk mengulas kenyataan Nurul Izzah kerana ia disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.
“Saya ditanya tentang isu kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah berhubung isu bebas untuk memilih agama.
“Saya lihat akhbar yang meletakkan isu ini di muka hadapan ialah akhbar yang sudah berkali kali kalah di mahkamah kerana menyiarkan laporan palsu dan tidak tepat.
“Justeru, saya kira amat tidak wajar memberikan ulasan hanya semata-mata berasaskan laporan akhbar ini,” katanya melalui kenyataan ringkas yang disiarkan dalam facebooknya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menggesa kerajaan Malaysia memainkan peranan dalam Asean untuk menyelesaikan isu pelarian Islam Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman etnik di Burma.
“Kita menjunjung hak asasi manusia. Kaum Rohingya tinggal (di Arakan) ratusan tahun, namun tak diiktraf sebagai warga dan ini sangat malang,” katanya.
Beliau mengalu-alukan kejayaan rundingan damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan menggalakkan kaedah sama digunapakai di Burma.
“Apa yang berlaku di Moro boleh menjadi panduan di Burma dan Selatan Thai,” kata Abdul Hadi.
Hadir sama dalam sidang media itu, Exco Kanan Kelantan, Datuk Husam Musa; Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

Posting Komentar